PROFESOR MADYA Ts. DR AWANIS ROMLI
PENGARAH
PUSAT SUMBER PENGAJARAN DAN e-PEMBELAJARAN (PSPe)
Image

PRAKATA PENGARAH PSPe

Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakaatuh dan Salam Sejahtera.Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberi peluang untuk bernafas di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan tugas kerja dengan penuh semangat. Sesungguhnya tahun 2024 merupakan satu lembaran baru dan sangat dinanti-nantikan oleh semua warga Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (PSPe) oleh kerana PSPe akan makin berkembang dengan warga baharu beserta amanat baharu.Sementelah lagi, kita telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam menangani ancaman pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2019 sehingga 2022.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga PSPe atas komitmen dan kerjasama yang amat tinggi dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif PSPe iaitu Micro-Credentials (MC), Micro-Credentials Industry (MCI), Global Classroom (GC) dan juga Pembelajaran Teradun Gantian (PTG) sejajar dengan Pelan Strategik UMP25 Teras 1B: Akademik Bersama Komuniti (4): Pendigitalan kandungan akademik university dan juga dalam mencapai Pelan Pengajian Malaysia Pengajian Tinggi 2021-2025 yang berfokuskan tujahan ke 9: Lonjakan 9 iaitu Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global. PSPe juga menetapkan matlamat utama adalah untuk menggerakkan inisiatif-inisiatif dibawah PSPe secara agresif dan mencapai KPI yang ditetapkan oleh universiti.

Di samping itu, pihak PSPe juga melihat potensi besar usaha dalam memperkembangkan kursus-kursus Micro-Credentials dengan mengadakan kolaborasi bersama industri. Dalam hubungan ini, PSPe memanfaatkan kerjasama dengan industri-industri di Malaysia untuk menghasilkan kursus-kursus pengajaran bersama seperti contohnya AirAsia Drone, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC); Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) yang dilihat sebagai kolaborasi terbaik dalam meningkatkan pembangunan bahan pendigitalan dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar-pelajar, pekerja industri dan juga kepada komuniti luar UMPSA.

PSPe juga dalam usaha untuk mengerakkan inisatif baharu iaitu Open Distance Learning (ODL) atau dikenali sebagai Program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh yang menawarkan kandungan pembelajaran yang fleksibel, lengkap dan lebih kepada pembelajaran kendiri. PSPe akan membantu semua pembangun self-instructional materials (SIM) ODL untuk menghasilkan SIM yang berkualiti kepada para pelajar. Diharap, inisiatif baharu ini mendapat sokongan sepenuhnya oleh warga UMPSA dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional malahan bergerak mengikut teknologi terkini.

Besarlah harapan saya dimana pihak PSPe dengan kerjasama warga akademik UMPSA dapat mengembleng tenaga dalam memastikan insiatif-inisiatif e-pembelajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya di peringkat universiti. Saya juga berdoa agar harapan dan usaha kita untuk menjadikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah sebagai sebuah institusi yang memacu kepada penggunaan e-Pembelajaran yang lebih meluas dapat direalisasikan. InshaAllah.