Pendidikan fleksibal pembelajaran secara atas talian (MOOC)

 
11 November 2019
 
Putrajaya, 7 November- Penganjuran Persidangan Antarabangsa The ASEM MOOC Stakeholders' Forum 2019 berjaya berkongsi kepakaran daripada wakil rangkaian ASEM MOOC yang memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan kursus pembelajaran dalam talian (MOOC) melibatkan universiti terlibat serta rakan strategik ASEM di rantau ini.
 
Lebih 130 peserta dalam kalangan akademik dalam dan luar negara termasuklah Jepun, Korea, Thailand dan Filipina berkongsi pengalaman mengaplikasi konsep teknologi dan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran  dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat selaras dengan perkembangan terkini dunia pembelajaran secara atas talian.
 
Hadir merasmikan persidangan adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir. Hadir sama Naib  Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Pengarah Pusat K-MOOC, National Institute of Lifelong Education (NILE) Kementerian Pendidikan Korea, Jaedong Cho, Pengarah Jabatan Kecemerlangan Akademik KPM, Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMP dan Pengarah Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL), Ts. Dr. Adzhar Kamaludin.
 
Menurut Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah, peningkatan pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran khas menjadi trend terbaharu pendidikan pada zaman Revolusi 4.0 (IR4.0) di Asia dan Eropah.
 
“Para pelajar perlu mempersiapkan diri dalam membangunkan kemahiran dan kapabiliti menggunakan teknologi bagi memperoleh pengetahuan serta mengadaptasi data dalam proses pembelajaran. Persidangan anjuran KPM dan UMP ini  memfokuskan terhadap pembangunan MOOC dan Global Classroom UMP kepada masyarakat pendidik di seluruh dunia seiring dengan perkembangan sistem pendidikan terkini,” katanya merasmikan Persidangan Antarabangsa The ASEM MOOC Stakeholders' Forum 2019 di Hotel Zenith Putrajaya. 
 
Beliau menyokong usaha UMP dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang melaksanakan kursus pembelajaran dalam talian (MOOC) dengan memfokuskan pengetahuan dan kemahiran praktikal (hands-on) bagi memenuhi keperluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.
 
Sementara itu, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar berkata, UMP telah memulakan kerjasama program secara MOOC ini sejak tahun 2017 dengan pihak Tan Chong Education (Tan Chong Group) yang membolehkan staf mekanik mereka mengikuti program teknologi automotif di Tan Chong Automotive Technology (TCAT). Seramai 30 pelajar mengikuti program Energy Efficient Vehicles (EEV) Hybrid System secara MOOC yang dikendalikan pihak CIReL dan pada tahun ini, TCAT menawarkan program yang mengandungi 5 modul untuk tempoh 3 bulan latihan melibatkan seramai 13 pelajar di Pusat Latihan Kota Bahru.
 
Dengan pendidikan secara fleksibel ini akan memberi peluang pelajar yang mengikuti program ‘hands-on’ MOOC dengan mengaplikasikan pengetahuan terhadap objek rangkaian internet (IOT), teknologi robotik, data analitik, aplikasi Arduino dan integrasi pembuatan berkaitan keperluan Revolusi 4.0 (IR4.0).
 
Hadir membentangkan kertas kerja adalah wakil KMOOC, Profesor Dr. Eunsil Hong dan Dr Wonsook Hyun daripada Sungkyunkwan University, Korea.  Manakala Prof. Madya Dr. Jintavee Khiasang daripada Chulalongkorn University, Thailand dan Profesor Natthakan Iam-on, Mae Fah Luang University mewakili ThaiMOOC.
 
Berkongsi mengenai MalaysiaMOOC adalah Dr. Gan Leong Ming (UMP) manakala mewakili JMOOC adalah Profesor Yasushi Kodama daripada Hosei University Jepun dan PhilippineMOOC diwakili Dr. Ria Mae H. Borromeo daripada University of the Philippines Open University (UPOU).