PROFESOR MADYA Ts. DR AWANIS ROMLI
PENGARAH
PUSAT SUMBER PENGAJARAN DAN e-PEMBELAJARAN (PSPe)
PUSAT SUMBER PENGAJARAN DAN e-PEMBELAJARAN (PSPe)

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya memberikan sepatah dua kata di dalam laman web rasmi Pusat Sumber Pengajaran e-Pembelajaran (PSPe).
Sepertimana kita semua sedia maklum, tahun 2021 adalah tahun yang mencabar bagi kita semua dimana pandemik COVID-19 sedikit sebanyak mengubah pola kehidupan seharian kita. Bersedia atau tidak bukan menjadi persoalan pada masa kini apabila warga universiti telah mula menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam urusan kehidupan seharian sejak penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun lalu. Selama tempoh setahun itu, warga universiti telah pun membiasakan diri dengan isu dalam talian yang meliputi masalah liputan rangkaian internet, pengetahuan berkaitan teknologi, kaedah dan platform pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pelan Strategik UMP 25 meletakkan sasaran kandungan digital akademik yang menjadi salah satu inisiatif penting dalam menjayakan pendidikan berbentuk fleksibel. Kursus modular credential telah diperkenalkan untuk memberikan pendidikan yang berbentuk pembelajaran secara kendiri untuk pelajar-pelajar UMP dan tak lupa juga untuk komuniti luar UMP. Agenda pembelajaran digital dilihat menyasarkan peningkatan produktiviti seiring dengan teknologi pintar yang merangkumi pengurusan akademik, penyelidikan, pentadbiran, kewangan serta keupayaan infostruktur dan infrastruktur ICT berteraskan teknologi pintar dengan pendekatan pendidikan yang melangkaui kampus (Beyond Campuses) dan sempadan (Beyond Borders).
UMP turut mengorak langkah ke hadapan dalam menjayakan transformasi digital dalam pembangunan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau Learning Management System (UMP LMS) yang merupakan pelantar yang menawarkan kursus secara dalam talian kepada pelajar, masyarakat dalam dan luar negara. Platform ini bakal dilancarkan September nanti dan mampu meluaskan akses pendidikan dan perkongsian ilmu, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menjenamakan UMP di peringkat antarabangsa bagi pembelajaran dalam talian. Kemahiran mengurus data dari pelbagai sumber juga amatlah penting bagi memastikan kelestarian pendidikan UMP yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan yang akan menyokong terhadap pembangunan negara. Kepentingan teknologi data analitik dan pengkomputeran awan juga sangat signifikan dalam usaha menyokong cara pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran yang bersesuaian dengan trend digital terkini melalui gajet dan keupayaan capaian internet. Apa yang pasti, pandemik Covid-19 telah merubah sistem pendidikan di seluruh negara. Kesan pandemik Covid-19 pada masa ini memberi kita peluang merancang dan memikirkan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu pendidikan alaf baharu yang menekankan keperluan Revolusi IR4.0. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam usaha membangunkan sistem pendidikan digital secara holistik yang dapat dimanfaatkan bersama termasuklah jaringan kerjasama strategik antara universiti dan industri. Kita juga perlu membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan serta bersedia mendepani cabaran digitalisasi yang sekiranya tidak diurus dengan baik akan membawa kepada ancaman pada masa depan.
Terima kasih.
Terima kasih.